Rabu, 24 Jun 2009

Laman Rasmi

Kini laman web Pusat Kebudayaan Jabatan Perkhidmatan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia boleh digunakan sepenuhnya bagi rujukan acara/majlis mahupun aktiviti-akviti pelajar dan kakitangan dalam bidang kebudayaan dan kesenian.

Secara rasminya laman ini telah berpindah ke alamat baru iaitu www.ukm.my/culturec. Harap maklum.

Selasa, 28 April 2009

Pameran RASA Alam UKM 2009


13 Mei - 12 Jun 2009
9.30 pagi - 4.30 petang
Galeri Seni & Anjung Seni, DECTAR UKM


Kali ini "Pameran Rasa Alam UKM 2009" akan menampilkan lebih ramai karyawan seni yang terdiri daripada pelajar-pelajar UKM, kakitangan UKM dan pelukis-pelukis jemputan khususnya dari sekitar Lembah Kelang. Para pengkaryanya yang menyandang dengan pelbagai jawatan dan berlainan jabatan di Universiti ini akan mempamerkan karya-karya seni yang pelbagai bentuk dan media untuk tontonan ramai. Terdapat sebilangan besar daripada para karyawan UKM ini telah pun menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan lainnya pula merupakan para pencipta seni yang begitu produktif serta kreatif, cuma mereka ini tidak berkesempatan untuk menampilkan karya-karya mereka kepada umum. Antara karyawan jemputan yang diundang pada tahun ini termasuklah JAAFAR TAIB, MAAMOR JANTAN, ZAFARUDDIN ZAINUDDIN, MOHD RAZIF ZAKARIA, HASAN ABDUL MAJID, SUZLEE IBRAHIM, AZIMIN SHAMSUL MOHD TAZILAN, HAMDZON HARUN, LING PIK KUONG dan ramai lagi.

Di antara jenis karya yang akan dipamerkan termasuklah:

1. Cat minyak
2. Cat air
3. Sketsa
4. Batik
5. Telepuk
6. Arca
7. Ukiran kayu
8. Pastel
9. Krayon
10. Kartun/grafik
11. Cetakan suterasaring
12. Lakaran
13. Fotografi
14. Campuran

Semua dijemput hadir ke Majlis Perasmian yang diadakan seperti berikut:

13 Mei 2009
2.30 petang
Anjung Seni, DECTAR UKM



Pameran 'RASA' Antarabangsa UKM 2008





Jumaat, 24 April 2009

Sebut Harga Sistem Siaraya


Kontraktor yang berkelayakan dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan di bawah Kod Bidang 220704 / 220208 (Audio Visual / P. A. System) serta berdaftar dengan UKM adalah dipelawa untuk menyertai sebut harga seperti di bawah:

No Sebut Harga: UKM/PK/09/2009

Perkara: Membekal, Menghantar dan menguji Sistem Siaraya ke Pusat Kebudayaan UKM

Tarikh Tawaran: 27 April 2009

Tarikh Tutup: 4 Mei 2009

Borang Pelawaan Sebut Harga boleh didapati di kaunter:

Pusat kebudayaan
Aras 3 Dewan Canselori Tun Abdul Razak
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi Selangor

Tel: 03-89215342/5240
Attn: Puan Ummi Nathra Abbas

Isnin, 20 April 2009

Memoir Johari Salleh: Tegar Meladeni Industri Muzik




Johari Salleh, adalah satu nama besar dalam arena industri muzik. Kerjayanya bermula sebagai pemuzik "sessionist" untuk beberapa sesi rakaman semenjak zaman remaja lagi. bermula 1961, usianya dihabiskan untuk berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Penglibatannya dilihat sebagai penggubah lagu terserlah, di samping mengetuai pelbagai persembahan Orkestra RTM dan menjalankan tugas Ketua Hiburan dan Muzik di RTM. Perkhidmatannya yang berpusar di RTM amat bermakna dan meluas kerana di situlah tempat beliau menimba ilmu pengetahuan dalam bidang muzik dan pentadbiran.

Selaku produser, beliau banyak menggubah pelbagai genre dan melodi termasuk pop, korporat dan muzik iklan. Pengalaman ini menjadi perangsang bagi bekas Pengarah Muzik RTM ini untuk terus berkarya demi mengingkatkan koleksi muzik simfonik melayu untuk dijadikan warisan kepada generasi masa depan. Kerjayanya semakin menyerlah kerana berjaya menerbitkan banyak album. Beliau kemudiannya menyambung perkhidmatan sebagai Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur (1988-2000) dan Perunding Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (2001-2004) yang memberi beliau peluang bernaung di bawah tiga Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Biarpun sudah lama meninggalkan RTM, namun di situlah namanya terus terpahat dalam industri muzik. Revolusi seni muzik tanah air banyak menerima sentuhan dan gubahannya. johari diberi penghormatan mencipta lagu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat dan lagu ini diterima sebagai lagu rasmi UMNO. Johari juga diberi mandat sebagai Pengarah Muzik dan Eksekutif Produser bagi mengendalikan persembahan besar produksi muzik PATA Conferenc di Kuala Lumpur dan produksi pentas Malaysiaku yang bercorak ala Broadway Musical di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kemuncak kejayaan beliau dalam bidang muzik diiktiraf pada peringkat dalam dan luar negara sebagai perunding, pensyarah dan hakim pertandingan pelbagai pertandingan lagu. Segala curahan ilmu dan pengalaman luas yang ada pada diri beliau menjadikannya tegar dalam meladeni perkembangan muzik tanah air.

DATO' JOHARI SALLEH adalah Felo Tamu di Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau adalah mantan Pengarah Muzik RTM (1961-1982), Pengarah Urusan Syarikat Josal Music Sdn Bhd (1983-1986), Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur (1987-2000) dan Perunding Muzik DBKL (2001-2004).

_______________________________________________

Judul : Memoir Johari Salleh: Tegar Meladeni Industri Muzik
Penerbit : UKM
Genre : Esei
Mukasurat : 465 halaman
Cetakan Pertama : 2009
ISBN : 9789679428452
Harga: RM45.00