Memaparkan catatan dengan label Dari Meja Editor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dari Meja Editor. Papar semua catatan

Rabu, 24 Jun 2009

Laman Rasmi

Kini laman web Pusat Kebudayaan Jabatan Perkhidmatan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia boleh digunakan sepenuhnya bagi rujukan acara/majlis mahupun aktiviti-akviti pelajar dan kakitangan dalam bidang kebudayaan dan kesenian.

Secara rasminya laman ini telah berpindah ke alamat baru iaitu www.ukm.my/culturec. Harap maklum.

Selasa, 14 April 2009

Larut


Pelajar-pelajar ko-kurikulum kesenian telah selamat dengan ujian praktikal mereka hujung minggu baru ini. Tahniah diucapkan. Semoga ilmu yang dituntut selama dua semester lepas tidak disia-siakan. Tinggilah harapan kami sekiranya kegiatan kesenian pelajar-pelajar ini juga tidak tersekat pada peperiksaan akhir nanti sahaja. Bergiat aktiflah di rangkaian kelab-kelab di bawah Urusetia ARTISUKMA kerana percayalah, banyak manfaatnya.

Bagi kami, walaupun aktiviti kesenian pelajar telah tamat bagi semester ini, tidak bermakna kami di Pusat Kebudayaan boleh bersandar lenang di kerusi pejabat sementara menunggu kemasukan pelajar-pelajar baru Julai nanti. Banyak lagi kerja-kerja pentadbiran yang perlu disiapkan di sini. Singgahlah spot check kami di sini. :D Kami baru sahaja menerima keputusan bahawa Konsert DiRaja pada tahun ini diteruskan seperti perancangan asal sebagai satu majlis mengalu-alukan Canselor kita yang baru, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ke Universiti Kebangsaan Malaysia.

Apa-apa pon, selamat maju jaya diucapkan kepada semua pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia sempena bulan peperiksaan yang bakal menjelma tidak lama lagi. Kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan TERAKHIR di UKM, jangan lupakan kami di sini.

:-)

Khamis, 2 April 2009

English Speaking Arts

Assalamualaikum…

Langkah Pusat Kebudayaan untuk menzahirkan satu acara yang disuntik dengan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai elemen tambahan dalam kegiatan kesenian dapat disimpulkan sebagai satu permulaan yang baik apabila program Inter College Arts Festival UKM 2009 (ICAF ’09) yang telah diadakan pada 27-29 Mac yang lalu telah berlangsung dengan meriah dan jayanya.

Tiga bidang seni utama di Universiti Kebangsaan Malaysia terutamanya di kalangan pelajar; teater, muzik dan tarian telah dipertandingkan di antara kolej-kolej kediaman. Walaupun sambutan penyertaan dari kolej-kolej kediaman agak dingin pada awalnya disebabkan oleh beberapa faktor seperti; majlis makan malam kolej, jadual kelas yang semakin padat, pertindihan tarikh dengan peperiksaan/projek/tugasan dikatakan menjadi halangan kepada kebanyakan pelajar untuk memberikan komitmen namun program tersebut dilihat telah memberi impak yang berkesan dalam menyemarakkan persaingan seni antara kolej-kolej kediaman yang menyertai program tersebut. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam penganjuran program ini. Apa yang boleh dikatakan, sambutan pelajar terhadap UKM Inter College Arts Festival 2009 (ICAF ’09) dapat dilihat pada majlis penutup yang berlangsung dengan meriah pada 29 Mac 2009.

Tahniah diucapkan kepada barisan kolej kediaman yang berjaya merangkul tempat terutamanya Kolej Pendeta Za’ba kerana telah dinobat sebagai “Kolej Seni Gemilang UKM” bagi tahun ini. Semoga dengan kejayaan Kolej Pendeta Za’ba pada tahun ini akan menjadi pemangkin kepada kolej-kolej lain untuk merebut gelaran tersebut pada masa akan datang.

“Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.”

Amar Baharudin
Editor (e-Media)
Pusat Kebudayaan JPPel

Rabu, 25 Mac 2009

Kesantunan Berkomunikasi Ke Arah Kesejahteraan


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bulan Mac memang sudah secara tradisinya akan menjadi sangat sibuk dengan tempahan penggunaan DECTAR, pinjaman peralatan teknikal, busana, hiasan, kenderaan dan bermacam-macam lagi. Ini semua gara-gara majlis makan malam kolej kediaman di UKM.

Kami di Pusat Kebudayaan akan cuba sedaya upaya untuk mengagihkan peralatan dan perkhidmatan lain yang kami ada untuk pelajar. Yalah, kami pun di bawah Jabatan Perkhidmatan Pelajar. Apa yang pelajar perlukan, jika kami boleh tolong, kami akan tolong.

TAPI perlulah kena dengan caranya.

Saya ingin mengingatkan para pelajar, terutama yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan apa-apa jua acara yang melibatkan urusan dengan pihak kami supaya mematuhi peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan. Peraturan itu semua adalah untuk memudahkan dan atas dasar kebaikan kepada semua pihak.

Terima kasih.


"Kesantunan Berkomunikasi Ke Arah Kesejahteraan"


Ikhlas dari
Amar Baharudin
Pegawai Kebudayaan

Ahad, 11 Januari 2009

Malam Merah, Hitam & Putih

Malam Anugerah Seni UKM 2008 berlalu sudah. Telah banyak yang berlaku dari depan hinggalah ke belakang tabir. Persiapan akhir untuk MAS '08 telah bermula sejak bulan September lagi. Setiap urusetia yang terdiri daripada kakitangan PusKeb dan pelajar-pelajar kesenian bertungkus lumus bagi memastikan MAS berjalan dengan lancar. Titik peluh ini semua khusus untuk pelajar-pelajar seni UKM yang dikasihi.

Pelbagai pembaharuan telah cuba dilakukan oleh PusKeb sendiri bagi memastikan MAS '08 menimbulkan kelainan dari tahun-tahun sebelumnya. Dan seperti yang dapat dilihat, MAS kali ini mendapat sambutan baik dari barisan Tetamu Jemputan Khas (VIP). Malah YBhg. Dato' VC sendiri dilihat tergelak besar menonton video yang disediakan. Tahun ini juga pentas MAS dihiasi dengan dekorasi yang lebih menarik bagi menjadikan malam anugerah ini lebih gilang gemilang, malah MAS '08 mendapat lebih banyak tajaan dari sebelum ini.

Mungkin ramai yang tidak tahu, betapa SUSAHnya untuk menghasilkan tayangan video bagi setiap kategori itu. Yalah, untuk meyakinkan dan mengumpul setiap kakitangan PusKeb termasuk ketua pusatnya sendiri untuk beraksi di hadapan kamera bukanlah satu kerja yang mudah. Namun kepuasan jelas terpapar di wajah masing-masing apabila melihat riaksi penonton. Harap anda semua terhibur dengan persembahan kami. :D

Tahniah diucapkan kepada yang berjaya. Ingatlah bahawa sesuatu anugerah yang diberikan bukanlah satu titik noktah kepada usaha kita selama ini. Tetapi ianya merupakan pemulaan kepada sesuatu yang lebih baik dan pemangkin supaya kita lebih banyak memberi sumbangan. Tahniah juga kepada calon-calon kerana pencalonan itu sendiri membuktikan bahawa anda sudah pun menang! Kepada mereka yang tidak berjaya, jangan khuatir untuk mencuba lagi. Tentu ada ruang untuk orang yang berusaha.

Akhir kata saya mewakili pihak pengajur memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan sepangjang MAS '08 berlangsung.

Kesenian itu adalah keindahan yang hanya mampu dinikmati oleh makhluk Allah s.w.t bernama insan yang akalnya sihat dan emosinya seimbang.


Amar Baharudin